Tentang Kesihatan




AMALAN DAN GAYA HIDUP SIHAT


Stres dan Akibatnya



Keadaan atau masa yang menimbulkan stres selalu berlaku. Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan gaya hidup di dunia moden yang serba pantas ini.

Adakah anda tahu mengenai pelbagai kesan stres ke atas sistem tubuh kita? Ia boleh merosakkan beberapa sistem. Ia malah mampu melemahkan tubuh kita hingga ke satu tahap di mana sistem imun berputus asa.

Daripada hanya membaca maklumat ini begitu sahaja, adalah penting untuk kita mengambil pendirian. Buatlah keputusan untuk membuat apa saja yang terdaya untuk mengurangkan kesan buruk stres. Stres boleh membunuh, justeru jangan biarkan ia membunuh anda atau orang yang anda sayangi. Individu yang mengalami stres sentiasa kehilangan tenaga yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Jika ini berlaku, ianya boleh menyemai sikap negatif dalam kehidupan mereka. Kemurungan akan berlaku dan mencetuskan kesan negatif kepada kehidupan individu berkenaan.

Kegagalan menangani stres juga boleh membawa kesan buruk ke atas kesihatan seseorang. Lazimnya sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari penyakit. Namun begitu, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku, individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser dan masalah jantung. Pada masa yang sama, jika dia sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.

Umum mengetahui penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di dunia. Sebahagian dari simptom atau pertanda penyakit jantung mempunyai kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan debaran jantung berterusan adalah antara tanda-tandanya. Berasaskan fakta-fakta tersebut, adalah penting untuk seseorang untuk berbuat sesuatu sekiranya mereka mendapati diri mereka tidak berupaya menangani stres. Mereka perlu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa stres yang boleh membunuh.

Cara Mudah untuk Mengatasi Stres


Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan. 


1. Pemakanan yang Betul


Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.

2. Jangan Membebankan Diri

 
Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.

3. Berehat


Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang. 

4. Berinteraksi dengan Famili dan Rakan

 
Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.

Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya. Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan membantu mengurus stres dengan baik.



Di Petik dari : http://www.kesihatan.biz/artikel/stres_dan_akibatnya.php




Diet dan Senaman untuk Pengidap Kencing Manis




Cara terbaik untuk melawan penyakit kencing manis atau diabetes adalah melalui perubahan gaya hidup khususnya menggabungkan diet dengan senaman. Ini bukanlah perkara baru. Pengkaji diabetes dan para pakar selalu mengesyorkan perubahan gaya hidup sebagai senjata utama melawan diabetes. Pelbagai kajian menunjukkan kemungkinan seseorang mengidap diabetes adalah sangat rendah jika mereka bersenam dan mengamal diet yang sihat. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes jika mereka berjaya mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya 10 paun.

Ini adalah berita baik untuk mereka yang mempunyai risiko sederhana atau tinggi untuk mendapat diabetes. Perubahan yang perlu dilakukan bukanlah besar atau mendadak. Mereka hanya perlu mengubah sedikit cara hidup demi untuk mengelakkan dari mendapat penyakit diabetes. Ini adalah sesuatu yang besar bagi setiap individu memandangkan ianya dapat mengawal penyakit yang sangat berbahaya.

Mereka yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan sebenarnya mempunyai reseptor insulin yang lebih rendah dari mereka yang mempunyai berat badan normal. Ini menerangkan kenapa mereka yang mengidap diabetes biasanya berat lampau atau obes. Lemak berlebihan membuatkan tubuh individu berkenaan tidak sensitif kepada insulin. Ini bermakna individu yang berat lampau memerlukan lebih banyak insulin dari mereka dengan berat normal. Inilah sebab mengapa mengurangkan berat badan akan mengurangkan dengan banyaknya risiko mendapat diabetes.

Menukar diet: satu dari cara terbaik melawan diabetes


Kuncinya adalah menggabungkan senaman dengan diet yang betul. Diet yang betul bukanlah hanya mengurangkan pengambilan kalori. Ia termasuk mengambil makanan yang betul. Kita patut mengelakkan diri dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak terutamanya lemak binatang. Kita juga patut mengurangkan memakan daging merah, produk tenusu dan telor. Karbohidrat yang diproses sama sekali tidak boleh. Ianya termasuk gula pasir (putih), beras putih dan gandum putih. Sebaliknya kita patut mengambil bijirin tulen seperti beras merah atau coklat dan gandum tulen.

Ada juga makanan yang mempunyai kesan seperti insulin kepada tubuh bila ianya dimakan. Sebagai contoh: timun, bawang putih, soya, germa (biji) gandum, buah avocado, kacang hijau, gandum hitam, minyak bijan, sayur-sayuran hijau dan kubis Brussels sprout. Individu yang merasakan mereka mempunyai risiko mendapat diabetes patut tingkatkan pengambilan makanan tersebut.

Pengambilan serat juga akan mengurangkan risiko mendapat diabetes. Makanan yang mengandungi serat yang tinggi biasanya mengandungi kurang gula. Mereka yang mengidap diabetes atau mempunyai risiko mendapat diabetes tidak dapat memproses gula dengan baik. Individu yang mempunyai risiko mendapat diabates patut meningkatkan pengambilan serat. Mereka patut mengambil lebih sayur-sayuran, buah-buahan, produk gandum tulen dan produk bijirin tulen. Pengambilan gula putih dan makanan yang tinggi kandungan gula putih mesti dikurangkan. Anda perlu menggantikan makanan tersebut dengan yang mengandungi serat yang tinggi.

Mereka yang ingin mengelakkan diabetes juga patut menjauhi minuman beralkohol. Alkohol akan mengurangkan tolerans glukosa terutamanya bagi mereka yang telah berumur dan mereka yang mempunyai risiko mendapat diabetes. Tambah lagi, pesakit diabetes yang meminum walau sedikit minuman beralkohol berkemungkinan besar akan rosak mata dan saraf mereka. Selain dari minuman beralkohol, merokok juga patut dielakkan untuk selamat dari mendapat diabetes. Rokok meningkatkan risiko penyakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain masalah kesihatan berkaitan dengan diabetes. Perokok tegar lebih mudah mendapat diabetes dari bukan perokok. Jadi sekiranya anda merokok, berhentilah dari tabiat tersebut demi kesihatan diri dan keluarga. Jika anda tidak merokok, jauhilah diri dari tabiat tersebut. 


Senaman melindungi anda dari diabetes


Kedua-dua jenis diabetes (jenis 1 dan 2) boleh dielakkan atau diperbaiki dengan selalu melakukan senaman ringan. Fakta menunjukkan individu yang mengidap diabetes jenis 1, yang selalu bersenam, memerlukan kurang insulin. Manakala individu sihat yang selalu bersenam berkemungkinan besar tidak akan mendapat diabetes jenis 2. Sebabnya bersenam mengurangkan lemak badan dan seterusnya menambahbaik darjat sensitif badan terhadap insulin.

Senaman tidak semestinya senaman berat terutamanya jika sudah meningkat usia. Senaman mudah seperti berjalan, berlari, berenang dan berbasikal dapat memperbaiki tahap gula dalam darah. Senaman memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot-otot berkenaan. Kesannya akan kekal lebih dari dua hari. Profil lemak darah dan tekanan darah yang memberi kesan kepada diabetes juga akan bertambah baik dengan selalu bersenam.

Setiap individu, terutamanya pengidap diabetes, perlu memantau paras gula dalam darah bila melakukan senaman. Ini disebabkan senaman boleh mengurangkan dan juga meningkatkan paras gula dalam darah. Anda dinasihatkan supaya meminta nasihat doktor anda sebelum menjalani apa-apa program senaman. 


Hidup Sihat - Jantung Sihat


Berhenti Merokok
Para penyelidek telah membuktikan bahawa terdapat pertalian antara penyakit jantung dengan merokok. Dua pertiga dari mereka yang meninggal akibat penyakit jantung adalah perokok. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dan 40 jenis karsinogen di dalam asap rokok. Sekiranya anda menyayangi jantung anda, berhentilah merokok dengan serta merta. Sekiranya anda tidak menyayangi jantung anda, sayangi jantung mereka yang berada di sekeliling anda. Sekiranya anda tidak sanggup berbuat demikian, fikirkan bahawa adakah wajar untuk mereka menyayangi anda?


Harungi Hidup Dengan Tenang
Para doktor telah mengesahkan bahawa perasaan dan tindakan kita akan memberi kesan kepada jantung kita. Fenomena baru di Malaysia ialah kerja terlalu kuat. Ramai eksekutif dan staf yang bekerja hingga larut malam dan menjadi tertekan. Di Jepun, ramai juga eksekutif yang mati kerana kekurangan rehat. Pandangan kita terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan kita juga boleh menimbulkan tekanan.



Jantung Sihat Sepanjang Hayat
Tahun lepas dilaporkan bahawa terdapat 9,000 kematian di hospital kerajaan akibat penyakit kardiovaskular. Ia merupakan 22.5% dari jumlah kematian yang direkodkan. Ini memberi gambaran sebenar mengenai gaya hidup moden yang meliputi diet, senaman, waktu bekerja dan penggunaan produk tembakau. Kita memakan makanan segera yang mengandungi kadar lemak yang tinggi, natrium dan karbohidrat murni. Kita kurang bersenam kerana sibuk bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin. Ramai yang masih merokok walaupun harga rokok naik tiap-tiap tahun.

Sudah sampai masanya untuk kita semua mengambil berat tentang kesihatan kita. Kita tidak mempunyai cara lain melainkan mengubah gaya hidup kita. Menjalani gaya hidup saya memerlukan komitmen.

Ingat, penyakit jantung dan strok tidak menyerang mereka yang gemuk sahaja. Orang kurus juga diserang penyakit jantung dan strok. Orang gemuk yang bertenaga (fit) mempunyai risiko mengidap penyakit kardiovaskular yang lebih rendah berbanding dengan orang kurus yang lemah. Untuk menjadi bertenaga, anda perlu menjalani gaya hidup sihat.

Jika kita selalu bersenam, makan dalam kuantiti sederhana, makan makanan seimbang, tidak meminum alkohol, tidak merokok dan mempunyai rehat yang cukup, besar kemungkinan jantung kita akan kekal sihat untuk tempoh masa yang lama.


Apa perbezaan antara sakit jantung dengan strok?
Sakit jantung terjadi apabila terdapat pengurangan aliran darah ke otot jantung, yang biasanya disebabkan oleh plak dan darah beku. Strok pula terjadi apabila berlaku gangguan terhadap bekalan darah ke otak, yang mungkin disebabkan oleh darah beku atau pembuluh darah pecah. Strok boleh membawa kepada kematian serta merta atau kecacatan kekal.


Maklumat tambahan (Sumber: Familydoctor.org):

Para penyelidik menemui bahawa paras homosistin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan arteri rosak dan darah lebih mudah menjadi beku. Bekalan nutrien yang cukup amat penting dalam pengawalan paras homosistin tersebut. 



Dipetik dari: http://www.kesihatan.biz/Hidup_Sihat.php


Adakah Anda Masih Ingin Merokok?


Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.

Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:

  • Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
  • Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
  • Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertam- bah dan fungsi paru-apru anda meningkat sebanyak 30%.
  • Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
  • Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
  • Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.
Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.

Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.

Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.

Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.

Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.

Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda.

Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.

Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.

Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.

Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.

Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.

Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih. 


Petua untuk membantu anda:

  • Tukar kebiasaan anda.
  • Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
  • Jauhkan diri dari perokok
  • Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
  • Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
  • Menyimpan duit rokok
  • Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
  • Minum air secukupnya
  • Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
  • Bersarapan pagi
Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.

Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah.



Dipetik dari: http://www.kesihatan.biz/Masih_Ingin_Merokok.php




Menentukan Berat Badan Sesuai



Tahukah anda bagaimana hendak menentukan berat badan yang sesuai untuk diri anda? Ini dia satu cara mudah untuk menentukan berat badan yang sesuai. 

Untuk Perempuan: Berat badan yang sesuai untuk perempuan dengan ketinggian 5 kaki adalah 100 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 5 paun. Jika anda lebih rendah dari 5 kaki, tolak 5 paun bagi setiap inci di bawah 5 kaki.

Kemudian anda perlu tentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar. Caranya, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 6 inci, anda mempunyai kerangka sederhana. Jesteru berat badan yang dikira tadi tidak perlu diubah. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 6 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 6 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

Untuk Lelaki:
Berat badan yang sesuai untuk lelaki dengan ketinggian 5 kaki adalah 106 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 6 paun. Untuk menentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil,sederhana atau besar, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 7 inci, anda mempunyai kerangka sederhana dan tidak perlu pinda berat badan seperti yang telah dikira. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 7 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 7 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira. 


Contoh: Tinggi saya 5 kaki 8 inci dan ukur lilit pergelangan tangan saya lebih 7 inci. Jadi berat badan yang sesuai untuk saya ialah (106 + (8 x 6)) x 1.1 = 170 paun (77 kg).

OK, sekarang anda telah mengetahui berat badan yang sesuai untuk anda.Satu dari rahsia untuk mendapat kesihatan yang unggul ialah mempunyai berat badan yang sesuai. Jika berat badan anda lebih tinggi dari berat sesuai, lakukanlah senaman untuk membakar lemak yang tidak diperlukan. 





Berapa Banyak Air Yang Perlu Diminum?


Ada orang kata jangan minum air banyak-banyak. Minum seteguk dua saja, ini petua untuk awet muda. Ada pendapat yang mengatakan kita perlu meminum 8 gelas sehari. Yang mana betul?

Pendapat yang pertama, memang tidak betul. Yang kedua? Tidak berapa betul! "8 gelas sehari" lebih merupakan sebagai lagenda yang telah diterima sebagai fakta.

Baru-baru ini, Jurnal Psikologi Amerika mendedahkan bahawa tidak terdapat bukti saintifik yang dapat menyokong teori "8 gelas sehari". Jangan salah faham pula. Saintis tersebut bukan mengatakan kita tidak memerlukan air. Tetapi nasihat agar kita mengambil 8 gelas air sehari bukanlah satu nasihat yang baik.

Pertama, kita perlu meminum air berulangkali di sepanjang hari. Meminum 8 gelas di waktu pagi dan mempercayai bahawa anda sudah meminum air yang cukup untuk hari tersebut adalah berbahaya.

Mereka yang meminum air, walau setengah gelas, pada setiap jam akan mendapati diri mereka begitu bertenaga.

Berapa banyak yang perlu diminum? Ianya bergantung kepada cuaca dan aktiviti yang anda jalankan. Lebih banyak anda kehilangan air, lebih banyak yang perlu diminum, lebih banyak dari 8 gelas. Tetapi jangan pula meminum terlalu banyak. Kenapa pula? Meminum terlalu banyak air boleh menyebabkan keracunan air (sekiranya menahan membuang air kecil) ataupun situasi elektrolit tak seimbang.

Peringatan: Lebih banyak anda meminum air, lebih banyak anda perlu menggantikan elektrolit anda. Di mana anda boleh memperolehi bekalan
elektrolit? Dari air minuman sukan seperti 100 Plus, Excel dll.

Nanti dulu, sebelum anda ke pasaraya untuk membeli minuman tersebut, saya ada satu petua untuk anda. Masukkan secubit garam ke dalam setiap gelen air minuman anda. Nah! Anda sudah mendapat bekalan elektrolit yang cukup. Sudah tentu pengeluar air minuman sukan tidak akan memberitahu kita mengenainya.



Di petik dari: http://www.kesihatan.biz/Air_Minum.php


Kunci Kesihatan Sepanjang Hayat

Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula.  Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.

Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri.

 Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah kepada serangannya. Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah.
 Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh,
terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1,
artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV,
hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.
Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? 



Renungkan fakta berikut:
  • Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.
  • Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.
  • Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.
  • Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.
  • Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.
  • Udara dan sumber air juga turut tercemar.
Di petik dari: http://www.kesihatan.biz/kesihatan.php



PEMAKANAN TAMBAHAN



Mitos Pemakanan Sihat


Seperti yang anda sudah ketahui, kekurangan nutrien boleh menjejaskan kesihatan dan kecergasan badan. Walaupun amalan pemakanan sihat sangat penting, terdapat mitos yang boleh menjejaskan kesihatan anda jika anda mempercayainya.

Berikut adalah mitos mengenai pemakanan sihat:


1. Bersenam dengan perut kosong.
Jika perut anda berkeroncong, ia cuba memberitahu anda sesuatu. Jika anda tidak menghiraukannya, anda memaksa badan anda bekerja tanpa bahan bakar. Sebelum bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti fizikal, pastikan anda mengambil makanan ringan terlebih dahulu seperti sebiji epal.


2.
 Bergantung kepada biskut dan minuman tenaga.
Walaupun elok mengambilnya sekali sekala, ia tidak membekalkan antioksidan yang anda perlukan untuk menghalang penyakit. Lebih baik anda bergantung kepada buah-buahan dan sayur-sayuran memandangkan ia penuh dengan vitamin, mineral, cecair dan serat.


3.
 Tidak mengambil sarapan pagi.
Tidak mengambil sarapan bukan idea yang bagus memandangkan sarapan
pagi memulakan hari anda. Badan anda memerlukan bahan bakar secepat
mungkin, dan tanpanya, anda akan berlapar hingga ke tengahari.


4. Diet rendah karbohidrat.
Badan anda memerlukan karbohidrat untuk otot dan juga penyimpanan tenaga.

5.
 Makan apa saja yang anda mahu.
Pemakanan sihat dan bersenam tidak memberi anda lesen untuk memakan
apa saja yang anda mahu. Kita semua memerlukan nutrien yang sama, sama ada kita bersenam atau tidak.

6.
 Kalori tidak mencukupi
Walaupun menurunkan berat badan melibatkan kalori, kehilangan secara mendadak adalah merbahaya. Apa yang perlu dilakukan adalah mensasarkan untuk menurunkan 1 – 2 paun seminggu. Pastikan anda mendapat kalori yang cukup untuk membolehkan badan anda berfungsi dengan sempurna.

7.
 Kurang minum.
Air, susu dan jus adalah minuman terbaik untuk mereka yang aktif. Anda perlu kerap minum dan tidak menunggu dahaga. Apabila anda merasa dahaga, badan anda sudah merasa kesan kekurangan air.

Menukar cara anda makan adalah langkah penting ke arah pemakanan sihat dan ia akan memberi kesan ke atas kesihatan anda. Semakin sihat pemakanan anda, semakin sihat badan anda. Tidak kira berapa umur anda, pemakanan sihat merupakan sesuatu yang perlu anda utamakan. Jika anda memberi peluang kepada pemakanan sihat, anda segera akan melihat bagaimana ia mengubah kehidupan anda – kepada yang lebih baik.

Di petik dari: 

Antioksidan dan Kesihatan Anda



Antioksidan seperti Vitamin E atau beta karotena, secara sendirian tidak dapat menghindarkan penyakit jantung, melawan kanser, membasmi penyakit mata atau menghalang penyakit Alzheimer seperti didakwa sesetengah pihak.

Anggapan yang mengatakan antioksidan baik untuk kesihatan berpunca dari kajian yang mendapati mereka yang mengambil makanan yang kaya dengan antioksidan mempunyai kesihatan jangka panjang yang lebih baik. Namun begitu ujian yang menggunakan pemakanan tambahan tunggal memberikan hasil yang sangat mengecewakan.

Antioksidan menstabilkan radikal bebas, hasil sampingan proses penjanaan tenaga oleh badan kita, yang membahayakan. Radikal bebas boleh merosakan sel tubuh, membuat kolesterol LDL menjadi lebih teruk dan membuat kacau di merata tempat dalam tubuh kita. Tubuh kita tidak mengeluarkan antioksidan, ia memerlukan pelbagai jenis antioksidan yang terkandung dalam makanan untuk membantunya meneutralkan radikal bebas.

Para penyelidek antarabangsa telah membuat kajian ke atas lebih dari 1,000 makanan untuk menentukan tahap kandungan antioksidan di dalamnya. Mendahului senarai ialah acaiberi, blueberi, blackberi, walnut, strawberi, cranberi, raspberi, elderberi, bunga cengkih kisar, delima dan anggur merah.

Kesemua makanan tadi mengandungi antioksidan dari jenis yang berbeza.
Memilih hanya satu makanan yang kaya dengan antioksidan tidak dapat
membantu anda untuk kekal sihat. Anda perlu memakan beberapa jenis untuk mendapatkan pelbagai jenis antioksidan.

Di petik dari: 

Adakah Makanan Kesihatan Memberi Manfaat?


Kalau kita ke supermarket atau farmasi, kita akan lihat banyak vitamin dan makanan kesihatan atau pemakanan tambahan yang dipamerkan. Maklumat-maklumat pemakanan yang tercatat di kotak produk tersebut sudah cukup untuk membuat kita pening kepala. Apakah vitamin atau mineral yang tercatat pada kotak-kotak tersebut dapat memberi manfaat kepada kita?

Beberapa kajian menunjukkan vitamin dan mineral tertentu dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 30 hingga 40 peratus malah dapat memperlahankan perkembangan penyakit tersebut. Vitamin juga membantu memperkuatkan sistem imun dan mereka yang mengambil vitamin dan mineral dipercayai mempunyai sistem imun yang lebih kuat. Sekiranya sistem imun kita lemah, kita akan terdedah kepada serangan berbagai-bagai penyakit dari dalam dan luar badan kita.

Jadi, pengambilan makanan kesihatan memberi manfaat kepada kita.
Janganlah pula anda tidak menjaga makanan anda dan mengharapkan
pemakanan tambahan melakukan keajaiban. Makanan kesihatan dapat
membantu mencegah penyakit walaupun anda mungkin memerlukan 6 bulan
untuk melihat keberkesanannya. Janganlah itu pula dijadikan alasan untuk tidak mengambilnya. Semakin awal anda bermula, semakin awal keberkesanannya.

Satu lagi cabaran ialah membantu sistem tubuh yang mula menurun. Apabila usia makin meningkat, kecekapan sistem tubuh kita tidak lagi seperti dulu. Sebagai contoh, perut kita tidak mempunyai cukup asid untuk membantu menyerap nutrien dari makanan. Ini bermakna sebanyak 40% dari nutrien dalam makanan tidak dapat diserap membuat kita kekurangan vitamin D, B6, B12, riboflavin, folat dan kalsium. Kebolehan sistem tubuh menyimpan nutrien juga menurun disebabkan oleh peratus lemak tubuh yang meningkat bersama umur.


Walaupun metabolisma membuatkan kita hidup dan sihat, ia juga menghasilkan sisa yang boleh membahayakan tubuh kita. Radikal bebas dan bahan lain yang terhasil dari proses metobolisma boleh merosakkan sel DNA dan membawa kepada banyak kesan umur tua. Kita memerlukan antioksida untuk melindungi diri dari serangan radikal bebas. Namun begitu, semakin meningkat usia, semakin susah untuk kita memperolehinya dari makanan harian. Jesteru kita perlu mengambil vitamin dan mineral tentu untuk memperolehi kesihatan
optimum.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan jumlah vitamin dan mineral yang diambil tidak melebihi had yang ditetapkan. Anda dinasihatkan untuk bertanya kepada doktor mengenai makanan kesihatan yang ingin diambil. Ini disebabkan terdapat beberapa makanan kesihatan yang tidak sesuai diambil bersama ubat-ubatan.


Disenaraikan beberapa tips untuk anda:
  • Elakkan multi-vitamin dengan formula "time release". Ketika sampai masa untuk hancur, ia mungkin terlalu jauh di dalam perut di mana penyerapan adalah lemah.
  • Simpan vitamin jauh dari tempat panas dan lembab
  • Ambil vitamin bersama makanan kerana beberapa nutrien memerlukan emak untuk berfungi. Jesteru mengambilnya bersama makanan rendah lemak adalah terbaik.
  • Semak tarikh "baik sebelum". Anda mungkin berjimat dengan membeli dalam kuantiti yang banyak, tetapi sebenarnya akan merugikan jika tidak dihabiskan sebelum tamat tempoh.
  • Jika anda merokok, walaupun tak kuat, ambil lebih vitamin dan mineral terutamanya vitamin C.

Di petik dari: 

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati


Makanan adalah bahan asas untuk kehidupan dan kesihatan, namun begitu makanan juga punca kita mendapat penyakit. Kalau kita mempunyai tabiat makan yang buruk, kita sengaja mengundang penyakit.

Di zaman moden ini kita menghadapi cabaran kesihatan yang agak berat, susah untuk kita menjauhkan diri dari memakan makanan segera yang boleh membahayakan kesihatan kita. Makanan tersebut mengandungi bahan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Kita juga selalu
makan di restoran makanan segera. Minyak yang digunakan untuk mengoreng diguna berulang-ulang kali, amalan ini sangat tidak baik untuk kesihatan.

Kita juga memakan daging dan ayam yang disuntik dengan hormon dan antibiotik. Hormon dan antibiotik ini akan berpindah ke badan kita. Bagaimana dengan sayur-sayuran dan buah-buahan? Buah-buahan dipetik sebelum masak dan dirawat menggunakan gas dan radiasi. Sayuran-sayuran disembur dengan racun serangga. Bahan-bahan kimia ini tidak akan hilang walau pun kita membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan. Ini semua membahayakan kesihatan. Tidak hairanlah kalau di zaman ini ramai orang yang mengidap kanser dan lain-lain penyakit kronik.

Bagimana pula dengan air yang kita minum? Adakah ia benar-benar bersih? Kalau anda mengambil air dari paip air di dapur anda dan mengujinya, anda mungkin tidak sanggup meminumnya.

Untuk menjaga kesihatan, kita seharusnya menjauhkan diri dari perkara yang dinyatakan di atas. Kurangkan memakan makanan segera, makan daging atau ayam kampung, makan sayur-sayuran hidrofonik dan buah-buah tempatan seperti manggis, rambutan dsb (yang bebas dari gas & radiasi).

Menurut pakar pemakanan bertauliah, untuk perlindungan dari penyakit, kita perlu mengambil makanan kesihatan atau suplemen seperti  vitamin, mineral, serat dan asid amino. Vitamin A, C dan E kaya dengan antioksidan yang mampu menghapuskan "radikal bebas", ia-itu molekul tidak stabil yang terhasil dari proses dalam badan kita. Dalam tubuh kita terdapat beribu billion molekul yang membentuk sel, sel membentuk tisu, tisu membentuk organ. "Radikal bebas" merosakkan molekul, dan seterusnya sel akan rosak (termasuk sel sitem imun), selepas itu tisu dan lama kelamaan akan merosakkan organ kita.

Cegahlah penyakit sebelum terlambat.

Di petik dari: